... Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan...

Monday, March 30, 2020

COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 (1-14 April 2020)

Andalah hero kami... terima kasih

COVID-19: Kebenaran Memasuki Kawasan Sekolah Untuk Tujuan Penyelenggaraan Menara 1BRIS





COVID-19: SOALAN LAZIM (FAQ’S) KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) Bahagian 2








COVID-19: GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

1. Tujuan

1.1. Garis panduan ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada semua pihak yang terlibat di Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
1.2.Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 : Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016 yang sedang berkuat kuasa. 
1.3.Garis panduan ini akan terus terpakai jika berlaku perlanjutan PKP 

2. Latar Belakang 

Kerajaan telah mengisytiharkan PKP yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020. Berdasarkan keadaan semasa dan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, Kerajaan telah mengisytiharkan lanjutan PKP bermula 1 April hingga 14 April 2020. Dengan pelaksanaan PKP, guru hendaklah bekerja dari rumah supaya akses kepada PdP dapat diteruskan dalam tempoh PKP ini. Perkara ini selaras dengan surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan Penutupan Premis Kerajaan bertarikh 17 Mac 2020. 


3..Objektif 

Objektif garis panduan ini adalah untuk memastikan perkara berikut: 
3.1.Proses PdP berlaku seperti yang dirancang dan dalam keadaan yang selamat; 
3.2.Pengetua dan guru besar hendaklah memastikan proses PdP dapat dilaksanakan secara teratur dalam tempoh PKP; dan 
3.3. Ibu bapa/ penjaga dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan pembelajaran murid walaupun tidak dapat menghadiri sesi persekolahan. 

4. Tafsiran 
4.1. PdP dalam tempoh PKP bermaksud proses PdP yang dilaksanakan dalam tempoh PKP. PdP harus melibatkan kaedah pembelajaran yang bersesuaian mengikut keupayaan dan kesediaan murid dengan menggunakan medium komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian; dan 
4.2.Pelantar pembelajaran bermaksud pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM iaitu MOE-DL atau pelantar pembelajaran lain yang disediakan oleh JPN, PPD, sekolah dan pelbagai pihak lain. 

5. Peranan dan Tanggungjawab 
Garis panduan ini menjelaskan peranan dan tanggungjawab pihak yang terlibat seperti berikut: 
5.1. Pentadbir Sekolah 
5.1.1. Memastikan perancangan dan pengurusan PdP semasa PKP dilaksanakan dengan teliti, cekap dan berkesan; 
5.1.2. Mengatur jadual pembelajaran yang fleksibel bagi menguruskan aktiviti PdP yang berkesan; dan 
5.1.3. Memantau PdP yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru. 
5.2. Guru 
5.2.1.  Melaksanakan semua tugasan dari rumah dan tidak dibenarkan ke sekolah; 
5.2.2.  Membuat catatan ringkas PdP yang dijalankan sebagai rujukan; 
5.2.3. Merancang, menyedia dan menyampaikan bahan PdP sesuai mengikut keupayaan murid; 
5.2.4. Membimbing murid menggunakan medium komunikasi dan aplikasi yang boleh diakses oleh murid; 
5.2.5. Memberi arahan/ tugasan/ kerja rumah melalui pelbagai strategi/ kaedah mengikut kreativiti guru, serta menyampaikannya dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang mudah diakses oleh murid; dan 
5.2.6. Menggalakkan penggunaan kaedah pembelajaran berbantukan teknologi (secara dalam talian). 

5.3. Ibu bapa 
5.3.1.Memastikan murid mendapat maklumat berkaitan sesi PdP bersama-sama guru ataupun arahan/tugasan/ kerja rumah yang diberikan guru; 
5.3.2.Mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bag membantu pembelajaran anak di rumah melalui http://eduwebtv.moe.edu.my dan http://bit.ly/cikgootube; dan 
5.3.3. Menyokong proses pembelajaran murid dalam tempoh PKP 
5.4. Murid 
5.4.1.Menghubungi guru dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keupayaan cara komunikasi bagi mendapat maklumat berkaitan proses PdP dan arahan/tugasan/kerja rumah yang perlu mereka selesaikan
5.4.2. Menggunakan komunikasi dan aplikasi yang disediakan oleh guru atau yang diminta oleh guru. Peralatan dan saluran komunikasi seperti telefon, internet dan sebagainya tidak disediakan oleh guru; dan 
5.4.3.Melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa perlu keluar dari rumah
6. Pelaksanaan 
6.1. PdP semasa PKP perlu dilaksanakan mengikut ketetapan berikut
6.1.1.Guru digalakkan menggunakan kaedah pembelajaran melalui pelbagai pelantar pembelajaran yang bersesuaian secara dalam talianPelantar Pembelajaran  yang disediakan oleh KPM ialah MOE-DL dan boleh diakses melalui http://www.moe-dl.edu.my. Pelantar ini menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/Cikgoo Tube) dan pautan aplikasi yang membantu PdP seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan)
6.1.2.Guru juga boleh mengarahkan murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa keluar dari rumah
6.1.3.Guru diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan/ tugasan/ kerja rumah murid. Keadaan ini bergantung kepada kesediaan dan keupayaan serta bentuk komunikasi dan aplikasi yang digunakan
6.1.4. Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali; dan 
6.1.5. Sebarang pertanyaan dalam kalangan ibu bapa/ penjaga atau murid kepada guru berkaitan latihan/ tugasan/ kerja rumah murid boleh dibuat dalam tempoh waktu bekerja guru

7. Penutup 
Pelaksanaan PdP semasa PKP ini diharap membantu sekolah memastikan proses pembelajaran murid tidak terganggu dan murid juga berada dalam keadaan selamat. Semua sekolah hendaklah patuh kepada semua ketetapan dalam garis panduan ini. Di samping itu, JPN dan PPD hendaklah memastikan dan memantau pelaksanaan PdP di negeri dan daerah masing-masing.