KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21
DAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-33
GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA (GMGBM)
TAHUN 2015
TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT DATO’ SERI DIRAJA MAHDZIR BIN KHALID
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA
BERTEMPAT DI DE BARON RESORT, PULAU LANGKAWI, KEDAH
PADA
11 OGOS 2015 (SELASA)
“GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK”
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis,
Yang Berhormat Dato’ Haji Tajul Urus bin Haji Mat Zain
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman
Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Jamil bin Md. Noh
Timbalan Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman,
Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia,
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian,
Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri,
Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah,
Yang DiPertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM),
Wakil Majlis Pengetua Sekolah Menengah, Barisan Exco dan Pegawai GMGBM,
Dato'-Dato', Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan warga pendidik yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
- Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir di Dewan De Baron Resort, Langkawi ini sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola yang diterajui oleh Majlis Guru Besar Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman atas penganjuran konvensyen selama empat hari yang bertemakan “Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”.
2. Sesungguhnya, program tahunan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ini mencerminkan kesepakatan dan komitmen GMGBM terhadap peranan dan sumbangan para guru besar yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah. Kehadiran tuan/puan ini jelas membuktikan sokongan, dokongan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara. Saya menyokong usaha murni GMGBM menjadikan konvensyen dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah mengubah peranan guru besar sebagai pengurus sekolah secara tradisional kepada pemimpin organisasi yang sentiasa peka dengan perkembangan dunia pendidikan. Guru besar juga perlu peka dengan dasar transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkongsian ilmu dan kerjasama sebeginilah yang menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti pendidikan terus mencapai tahap cemerlang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.
3. Pada kesempatan ini juga, saya ingin melahirkan rasa penuh kesyukuran atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh tampuk kepimpinan negara untuk saya menerajui kementerian ini dengan kerjasama padu seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Semestinya dasar pendidikan sedia ada kekal relevan dan akan diteruskan dengan pengubahsuaian mengikut keperluan semasa. Seperti yang telah saya nyatakan perkara yang perlu diutamakan sekarang ini adalah menyelesaikan rungutan para guru yang membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki mereka. Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sedang berusaha mengatasi masalah beban kerja yang ditanggung oleh 420,000 guru di seluruh negara. Sehingga kini, KPM telah menempatkan pembantu guru di sekolah melalui projek rintis di negeri Kedah dan Melaka bagi memastikan hal ini tidak menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik.
“GURU BESAR: MEMBINA ILMU, MENYEMPURNAKAN AKHLAK”
YB Dato', Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
4. Tema konvensyen pendidikan ini yang selari dengan tema hari guru tahun 2015 dilihat amat sinonim dengan jiwa warga pendidik iaitu "GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK". Hal ini bersesuaian dengan tanggungjawab para guru besar yang memainkan peranan penting sebagai ketua atau peneraju institusi pendidikan bagi menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul. Bahkan sebagai arkitek sosial, tuan-tuan dan puan-puan sememangnya memikul tugas besar, bukan sekadar memimpin para guru dalam memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu, malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara. Pembinaan tamadun ilmu bakal terhasil apabila ilmu diberikan status sebagai ‘the highest good' dalam pembentukan peradaban insan sejagat. Budaya ilmu yang sebenar akan memberi peluang yang saksama kepada semua warga pendidikan untuk mengejar dan mengamalkan ilmu dalam kehidupan.
5. Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke-21, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak akibat permasalahan sosial yang wujud seiring dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Kepincangan membentuk masyarakat berakhlak mulia samalah seperti membuat kerosakan pada muka bumi ini. Dalam konteks ini, semua guru besar seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu membentuk akhlak mulia melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”. (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim). Kepentingan akhlak mulia ini diperjelaskan lagi oleh Baginda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
6. Pada hemat saya, tema konvensyen pada kali ini juga selaras dengan hasrat murni warga kementerian pendidikan menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 merangkumi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional yang perlu ada pada setiap murid. Modal insan yang dibangunkan dalam negara kita ini tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi hendaklah diperkukuh dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai murni. Oleh itu, semua guru besar di Malaysia perlu mempunyai aspirasi yang sama untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia dengan memikul tanggungjawab melahirkan modal insan cemerlang dan bersahsiah tinggi tanpa berorientasikan peperiksaan semata-mata.
7. Sejajar dengan itu, saya menyeru semua guru besar agar terus berpegang kepada satu agenda bagi memastikan kejayaan PPPM 2013 - 2025 dan juga berpegang teguh kepada etika profesion keguruan dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jelas di sini bahawa aspek akhlak, budi pekerti, integriti, akauntabiliti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang amat penting dalam membina negara bangsa dan mencapai kemajuan ekonomi lestari. Sudah tentu amat penting bagi Malaysia melakar kejayaan sistem pendidikan yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan semua rakyat dan menyediakan negara untuk bersaing di persada antarabangsa.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
8. Kementerian Pendidikan bermatlamat menghasilkan kumpulan murid terbaik bagi mendepani cabaran abad ke-21. Dalam usaha menggerakkan agenda pembangunan negara seiring dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, tuan/puan diberi amanah berada di barisan hadapan untuk memberi penerangan tentang dasar dan hasrat negara kepada ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, saya sekali lagi menyeru semua guru besar supaya terus berusaha memainkan peranan sebagai pembina ilmu, penyubur perpaduan, pembangun sahsiah malah sebagai jurutera sosial yang mampu menggerakkan proses transformasi bagi mencorakkan landskap sistem pendidikan negara. Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan menunjukkan teladan yang baik. Guru besar sebagai pemimpin khususnya perlu memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga. Tuan/puan juga perlu bersikap suka membantu dan membimbing serta berperanan sebagai suri teladan kepada para guru, anggota pelaksana dan murid di bawah pimpinan tuan/puan.
9. Saya pasti peranan tuan/puan semakin mencabar dalam keadaan alaf baharu yang diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat. Sebagai guru besar, peranan tuan/puan bukan sahaja memberi impak besar terhadap pembinaan minda generasi muda, malah amat penting bagi mencorakkan gaya hidup yang unik dalam kalangan mereka. Peranan tuan/puan sebagai fasilitator dalam konteks budaya pendidikan bestari seharusnya mampu membangunkan sahsiah murid melalui tapisan kandungan maklumat dalam wahana teknologi terkini.
10. Umumnya, guru ialah insan terpilih yang memainkan peranan penting dalam memperkasa dan membina ilmu serta penerapan nilai murni demi menyempurnakan akhlak murid. Proses pencarian dan pembinaan ilmu harus dijadikan amalan penerokaan yang tidak bernoktah. Menjelang tahun 2020, unjuran penduduk Malaysia adalah seramai 34.2 juta orang dan golongan yang berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 64 tahun adalah seramai 26.2 juta orang. Yang pastinya, guru, murid dan kita semua berada dalam lingkungan julat tersebut, justeru, kemahiran dan ilmu perlu dipertingkatkan melalui penyemaian budaya ilmu yang boleh diterokai melangkaui batasan usia, masa, mahupun tempat.
11. Saya percaya konvensyen dan persidangan ini dapat menjadi platform yang berkesan dalam membudaya dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat bagi semua warga Kementerian Pendidikan, khususnya guru besar yang merupakan golongan yang sudah berkerjaya mantap. Seorang guru besar yang profesional adalah guru besar yang berilmu, bertanggungjawab, mempunyai kemahiran dan ketrampilan yang baik serta memiliki sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan kepada warga sekolah. Sememangnya transformasi ke arah "Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak" adalah selari dengan dasar Malaysia yang ingin menjadi negara maju dan melahirkan generasi yang berilmu, berkebolehan dan berakhlak mulia. Seterusnya dapat menyerlahkan keseimbangan dari sudut keupayaan intelektual dan nilai kerohanian setiap murid.
TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
12. Bagi menjayakan transformasi, idea baharu dan pendekatan kreatif amat diperlukan. Inilah yang sedang dilaksanakan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bermula dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, yang menjelmakan program transformasi, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Politik. Saya difahamkan melalui konvensyen ini, para guru besar akan diberi pendedahan dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas tentang konsep Transformasi Pendidikan Negara, mempertingkatkan keupayaan memimpin dan mengurus secara profesional, membantu guru besar dalam usaha melonjakkan sekolah ke arah ’Sekolah Berprestasi Tinggi’ dan memartabatkan profesionalisme guru besar.
13. Selari dengan Dasar Transformasi Pendidikan Negara, guru besar perlu meningkatkan kefahaman tentang hala tuju negara dalam bidang pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan sekolah rendah sebagai pemangkin kepada objektif dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia. Bersesuaian dengan tema konvensyen, sebagai guru besar yang merupakan tonggak pendidikan rendah, tuan/puan perlu memainkan peranan yang proaktif dalam menjayakan transformasi ini. Pengurusan sekolah masa kini sememangnya mencabar dengan pelbagai isu dan perkembangan baharu dalam sistem pendidikan. Justeru, tuan/puan perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai langkah dan pendekatan untuk mengatasi cabaran dan halangan yang dilalui sepanjang melaksanakan tugas mentadbir sekolah.
14. Bagi mencapai matlamat transformasi pendidikan, Kerajaan telah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menerusi empat sub NKRA iaitu Prasekolah, LINUS, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Tawaran kepada Pengetua/Guru Besar. Tawaran Baharu ini atau Bai’ah diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada pengetua/guru besar dalam usaha melonjakkan kecemerlangan sekolah iaitu menawarkan ganjaran yang menarik kepada pengetua/guru besar yang melepasi sasaran serta membantu mereka yang lemah dalam mencapai sasaran tersebut. Penilaian terhadap pencapaian pemimpin sekolah dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada tuan/puan yang telah berjaya mendapat pengiktirafan seperti yang saya nyatakan.
15. Transformasi sistem pendidikan negara menerusi PPPM 2013 - 2025 turut menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjana pemikiran murid daripada peringkat akar umbi dan diharap KBAT dapat melahirkan murid yang berdaya saing menjelang abad ke-21. Dijangka peratusan soalan pemikiran aras tinggi akan ditambah sebanyak 50 peratus dalam peperiksaan UPSR dan peperiksaan awam lain menjelang 2016 nanti. Selain itu, dengan KBAT saya harap murid dapat menilai iaitu membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui kaedah memeriksa dan mengkritik selain mencipta sesuatu atau struktur yang baharu. PPPM 2013 - 2025 yang memberi penekanan khusus terhadap aspirasi akal dan budi juga dinilai melalui transformasi besar-besaran dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai teras pembangunan murid secara holistik. Dalam konteks ini, guru besar berperanan memberi pemahaman yang telus kepada guru yang ditadbir dan juga waris murid sebagai persediaan di peringkat sekolah rendah. Saya begitu yakin dengan kredibiliti para guru besar di hadapan saya ini untuk menjadi penyalur maklumat yang baik dan pencetus transformasi pendidikan negara seperti yang disarankan.
YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
16. Sebagaimana kita sedia maklum, pengumuman yang dibuat semasa Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Jitra semestinya memberi khabar gembira kepada tuan/puan sebagai pemimpin sekolah. Langkah Kerajaan menambahbaik Elaun Guru Besar sedia ada yang dinaikkan berkuatkuasa 1 Julai 2015dibuat kerana guru besar memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi PPPM 2013 - 2025. Peranan dan kompleksiti tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan guru besar. Saya berharap agar insentif ini dapat mendorong tuan/puan selaku pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dan keberhasilan murid.
17. Sesungguhnya usaha merealisasikan pembudayaan ilmu dan penyempurnaan akhlak bukanlah kerja sehari, seminggu, sebulan, setahun mahupun sedekad. Ini adalah usaha berterusan dan boleh dilaksanakan melalui penjanaan idea dan program baharu yang membentuk strategi yang cekap, berkesan dan mempunyai nilai tambah. Sehubungan dengan itu, dalam kepesatan ekonomi zaman millenium ini, elemen kreativiti dan inovasi harus ditekankan sejak di bangku sekolah agar Malaysia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan terus berdaya saing untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di dunia.
18. Saya yakin konvensyen ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membina ilmu dan menyempurnakan akhlak dalam kalangan pendidik di samping turut memberi pendedahan kepada guru besar untuk mencetuskan idea baharu tentang pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mampu menghasilkan murid yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Para pembentang pula diharap dapat berkongsi pengalaman dan amalan terbaik tentang pelbagai strategi ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi membolehkan para peserta mendapatkan pelbagai input dan pandangan tentang perkara yang dibincangkan. Konvensyen ini amat bertepatan dengan peranan guru besar bagi mencetuskan idea bernas dalam membimbing PdP guru-guru di sekolah. Melentur buluh kata orang, biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya hijrah minda atau anjakan paradigma, berfikir di luar kotak kebiasaan, berfikir secara lateral atau strategi lautan biru perlu digalakkan dalam kalangan murid bagi menjana minda kreatif serta memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.
19. Sebelum mengakhiri bicara, besarlah harapan saya agar konvensyen dan persidangan yang diadakan ini dapat membakar semangat tuan/puan untuk mengintegrasi hasil positif dan mengadaptasi penemuan terbaharu bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara dan melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Di samping itu, manfaat yang diperoleh melalui penganjuran konvensyen pendidikan ini dapat membina jaringan sokongan dan hubungan intelektual dua hala dengan warga pendidik di peringkat akar umbi hinggalah kepada pihak pengurusan tertinggi.
20. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan konvensyen pendidikan dan persidangan GMGBM pada kali ini. Saya juga menyeru kerjasama semua pihak khususnya warga KPM supaya terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan penyempurnaan akhlak melalui perkongsian ilmu, perancangan yang komprehensif dan berterusan demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem yang terunggul di dunia.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
9 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment