Guru Besar merupakan nakhoda kepada sesebuah sekolah (bahtera) yang diterajuinya. Sebagai seorang nakhoda, sudah pasti dia perlu tahu destinasi, mengetahui cara bagaimana dan juga menganggar tempoh masa untuk sampai ke destinasi, berpengalaman dalam selok-belok pelayaran selain dari mengenali, mengetahui kekuatan dan kecukupan anak-anak kapalnya. Tidak boleh dikesampingkan juga ialah kemampuan dan kemahiran untuk menangani krisis terutamanya pada saat-saat kritikal yang boleh hadir tidak tentu masa dan keadaan. Nakhoda tidak boleh cepat mengalah dan berputus asa, sebaliknya dia perlu mampu untuk bangkit sambil menjadi pendorong kepada anak-anak kapalnya. Mengetahui dan mengenali akan kekuatan, kebolehan, sikap, dan pengetahuan sedia ada anak-anak kapalnya merupakan salah satu aset penting yang dapat membantu memudahkan urusannya mencapai matlamat.
Sebelum bahtera memulakan pelayaran, persiapan rapi dan jitu perlu dibuat. Kata-kata Jika anda gagal untuk merancang, bermakna anda merancang untuk gagal patut dijadikan pegangan kepada setiap Guru Besar. Di antara aspek merancang yang utama sebelum memulakan sesi persekolahan ialah menyediakan carta masa dan carta perjalanan sesebuah sekolah. Sudah tentu untuk menghasilkannya, Guru Besar perlu membincangkan penyediaan carta-carta ini dengan membabitkan semua Penolong Kanan, ketua-ketua dan wakil setiap komponen pengurusan sekolah. Semestinya Guru Besarlah yang perlu mempengerusikan mesyuarat ini sendiri. Untuk itu, sudah pasti ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang tinggi, luas dan mendalam menjadi satu kelebihan yang sangat membantu untuk melancarkan proses bagi menghasilkan perancangan yang terbaik.
Salah satu carta masa dan carta perjalanan yang penting di sekolah ialah Kalender Akademik Sekolah. Ia perlu disedia dan disiapkan sebelum sekolah dibuka. Ini disebabkan bermula dari Kalender Akademik Sekolah inilah maka setiap panitia mata pelajaran boleh merancang dan memulakan kerja untuk menyiapkan Rancangan Pelajaran Tahunan, Penolong Kanan membuat agihan tugas mengajar, menjana jadual waktu sekolah, menentukan masa datang dan masa balik sekolah, dan semua Penolong Kanan yang lain dapat bergerak menyediakan takwim semua aktiviti masing-masing.
Namun seperti yang semua sedia maklum, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah mencetuskan krisis yang tidak pernah terjangka sebelum ini. Maka sebagai pemimpin sekolah, kita perlu menghadapi dan menangani dengan baik dan teratur. Maka jika sebelum ini kita hanya menyediakan Kalender Akademik Sekolah pada penghujung tahun sebelum sesi persekolahan tahun berikutnya dibuka, namun kali ini di pertengahan tahun kita perlu menyusunnya semula untuk disesuaikan dengan krisis yang sedang berlaku.
Umum semua mengetahui bahawa sekolah telah ditutup sepanjang hampir 4 bulan sejak 18 Mac 2020 apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bermula dengan PKP, diikuti dengan PKP Bersyarat, PKP Diperketatkan dan kini dalam PKP Pemulihan. Ini telah merencatkan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Tidak ketinggalan segala perancangan sekolah yang telah digarap dalam Kalender Akademik Sekolah 2020 juga turut terjejas.
Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan Surat Siaran 6/2020 PINDAAN TAKWIM PENGGAL DAN CUTI PERSEKOLAHAN TAHUN 2020 BAGI SEKOLAH KERAJAAN DAN SEKOLAH BANTUAN KERAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA pada 22 Jun 2020, mengubah peruntukan masa minimum penjajaran kurikulum setiap mata pelajaran (PEMAKLUMAN MENGENAI PELAKSANAAN KURIKULUM SELARI PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH, 10 Julai 2020) dan menjajarkan kandungan kurikulum dengan mengeluarkan Dokumen Penjajaran Kurikulum (DPK) pada 12 Julai 2020, maka sudah pasti sekolah perlu membuat pindaan terhadap Kalender Akademik Sekolah sedia ada masing-masing.
Contoh Kalender Akademik Sekolah 2020 setelah dipinda
No comments:
Post a Comment