MENU

Monday, September 28, 2015

PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN (PENGGAL, HARI DAN CUTI SEKOLAH) 1998*

PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
 (PENGGAL, HARI DAN CUTI SEKOLAH) 
1998* 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 130 Akta Pendidikan 1996, Menteri membuat peraturan-peraturan yang berikut:

1. Nama dan mula berkuat kuasa. 
Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada 21 Mei 1998.

2. Pemakaian. 
Peraturan-Peraturan ini adalah terpakai bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. 

3. Tafsiran.
Dalam Peraturan-Peraturan ini— 


  • “guru besar” atau “pengetua” ertinya pegawai dalam Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pendidikan untuk mengurus sekolah; 
  • “cuti peristiwa” ertinya hari yang tiada pendidikan dijalankan disebabkan oleh apa-apa perayaan atau majlis rasmi sekolah;
  • “hari ganti” ertinya hari yang pendidikan hendaklah dijalankan di sekolah bagi menggantikan hari yang pendidikan tidak dapat dijalankan atas apa-apa sebab yang diluluskan oleh Pendaftar. 


4. Kaedah-kaedah penggal sekolah.
Kaedah-kaedah penggal sekolah bagi mana-mana satu tahun hendaklah mendapat kelulusan Menteri. 

5. Cuti.
Sekolah hendaklah menurut semua Hari Kelepasan Am Persekutuan dan Hari Kelepasan Am Negeri yang diwartakan bagi negeri di mana terletaknya sekolah itu, yang jatuh pada hari sekolah semasa penggal sekolah.

6. Hari sekolah. 


  1. Hari sekolah bagi mana-mana satu tahun hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh hari. 
  2. Guru besar atau pengetua hendaklah mengadakan hari ganti jika dia mendapati bahawa hari sekolah bagi sekolahnya adalah kurang dan satu ratus sembilan puluh hari. 


7. Cuti peristiwa. 


  1. Guru besar atau pengetua dengan kelulusan Pendaftar, boleh memilih hari tertentu sebagai cuti peristiwa yang hendaklah tidak melebihi empat hari bagi mana-mana satu tahun.
  2. Cuti peristiwa itu tidak boleh diambil bagi maksud melanjutkan cuti penggal sekolah. 


8. Daftar kehadiran murid. 


  1. Kehadiran murid ke sekolah semasa hari sekolah hendaklah direkodkan dalam daftar kedatangan murid pada setiap hari yang murid itu hadir. 
  2. Nama murid yang telah bertukar atau berhenti sekolah hendaklah dibatalkan dari daftar itu pada hujung sesuatu bulan yang berkenaan. 
  3. Guru besar atau pendaftar boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap seseorang murid yang gagal hadir sekolah bagi tempoh tiga hari berturut-turut tanpa apa-apa sebab munasabah. 


9. Pemberitahuan cuti. 
Guru besar atau pengetua hendaklah memberitahu ibu bapa murid secara bertulis mengenai hari ganti, cuti penggal sekolah dan cuti peristiwa. 

10. Kuasa menutup sekolah. 


  1. Guru besar atau pengetua mempunyai kuasa untuk menutup sekolah bagi suatu tempoh tertentu jika berlaku darurat atau bencana alam.
  2. Penutupan sekolah di bawah subperaturan (1), hendaklah diberitahu kepada Pendaftar secara lisan dan bertulis dengan seberapa segera yang praktik dan hari yang sekolah itu ditutup hendaklah diganti dengan hari yang lain. 


Dibuat 8 April 1998


**Nota:
Menteri mengeluarkan Peraturan di atas berikutan kuasa yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) seperti yang berikut (rujuk yang bertanda biru):
BAHAGIAN XIII 
PERATURAN-PERATURAN 
130. Kuasa Menteri untuk membuat peraturan. 


  1. Tanpa menjejaskan kuasanya untuk membuat peraturan-peraturan di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, Menteri boleh membuat peraturan peraturan bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta ini.
  2. Tanpa menjejaskan keluasan kuasa yang diberikan dalam subseksyen (1), Menteri boleh membuat peraturan-peraturan bagi atau berkenaan dengan semua atau mana-mana perkara yang berikut
(a) penerimaan masuk murid ke institusi pendidikan, penyimpanan daftar murid di institusi pendidikan itu, had umur dan syarat yang membolehkan murid dikekalkan belajar di sesuatu institusi pendidikan atau di dalam mana-mana kelas di institusi pendidikan itu; 
(b) tempoh penggal institusi pendidikan, hari dan waktu murid hendaklah hadir di institusi pendidikan itu dan hari yang hendaklah dijadikan hari cuti oleh semua institusi pendidikan atau mana-mana institusi pendidikan atau golongan institusi pendidikan yang ditentukan

No comments:

Post a Comment