MENU

Thursday, August 20, 2015

Dialog Prestasi 1BestariNet 3/2015 Negeri Selangor

Hari ini kami menghadiri sesi dialog tersebut yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Mohd Salleh Mohd Kassim, Timbalan Pengarah Pendidikan.

Agendanya ialah
1- Aluan Pengerusi
2- Status 1BestariNet - BTPN
3- Status Aduan - YTL Comms
4- Dialog
5- Selesai
YDP En. Alwan bin Ginen dan NYDP En. Sukimin Juki mewakili MGB SK Selangor


Pembentangan Status Akses Internet Sekolah Rendah

Penyelenggaraan Peralatan ICT

Dialog sedang berlangsung
Berikut ialah antara butir perkara yang disampaikan dalam dialog tersebut:

  1. Menjelaskan tentang beza antara capian internet dan Frog VLE. Sekiranya sekolah menggunakan ISP tunggal (1BestariNet) maka aktiviti Frog VLE akan terganggu jika prestasi bekalan capaian internet di tahap lembap.
  2. Dalam Konvensyen Pendidikan Kebangsaan di Langkawi pada 10-13 Ogos 2015 lalu, majoriti negeri menyampaikan mengenai prestasi buruk capaian internet 1bestariNet sehinggakan wakil dari Sarawak menyarankan agar ditamatkan segera kontrak syarikat pembekal. Ia menjadi isu besar yang diperkatakan dalam konvensyen ini.
  3. Mempersoal tahap privacy alamat emel @yes.my. Ia sudah dibangkitkan lama (2013) namun sehingga hari ini seolah-olah tiada tindakan konkrit yang diambil untuk memperbaikinya. Antara kelemahan alamat emel yes ialah:
  4. Kata laluan e-mel @yes.my boleh diperoleh dengan mudah kerana aplikasi Frog menyediakan fungsi khas untuk melihat kata laluan semua (guru, staf, ibubapa, pelajar) kepada pentadbir sistem. Cara ini dirasakan tidak sesuai memandangkan e-mel rasmi sewajarnya mempunyai kerahsiaan yang tinggi.
  5. Walaupun @yes.my merupakan gmail, namun penggunaannya masih tidak diterima oleh Blogger (blogspot.com). Blogger adalah salah satu daripada komponen Google yang menyediakan blog kepada penggunanya. Secara tidak masalah Ini telah menyebabkan pengguna perlu mempunyai akaun e-mel lain (berdaftar sebagai akaun Google) untuk membolehkannya diterima mengurus Blogger.
  6. Ketiadaan peralatan ICT di sekolah perlu diambil kira serius oleh pihak Jabatan Pendidikan bagi memastikan sekolah tidak ketinggalan dalam penggunaan ICT.
  7. KPI penggunaan Frog VLE tidak benar-benar tepat menggambarkan matlamat/objektif Frog VLE. Memohon agar ciri-ciri KPI ini disebarkan kepada semua sekolah.
  8. Meminta pihak disediakan SOP yang jelas tentang permulaan rasmi penyerahan Frog VLE kepada sekolah-sekolah baru. Buat masa ini tidak ada langsung dan sekolah seolah-olah dibiarkan mencari sendiri maklumat mengenainya.
  9. Minta agar JU Frog VLE dilantik di kalangan pengguna Frog VLE kerana mereka lebih memahami masalah aplikasi dan masalah pelaksanaan di sekolah

Wednesday, August 19, 2015

MGB Selangor Melawat Hj Suhaimi Ramli

Pada 19 Ogos 2015 (Rabu) Pegawai MGB Selangor telah membuat kunjungan ke rumah Tn. Haji Suhaimi Ramli (Pengerusi MGB Sabak Bernam).

Tn Hj. Suhaimi bersama YDP En Alwan Ginen


Tonik dari Langkawi yang dibeli khas buat Tn. Hj. Suhaimi


Terima kasih MGB Sabak Bernam atas layanan dan bantuan dalam meralisasikan kunjungan ini

MGB Selangor dengan bantuan MGB Sabak Bernam telah membuat lawatan ke rumah Hj Suhaimi

Friday, August 14, 2015

Gambar Perwakilan MGB Selangor

Barisan perwakilan MGB Selangor yang diketuai oleh En. Sukimin bin Juki.
Perwakilan:
  1. En. Sukimin bin Juki (Ketua)
  2. Tn. Hj. Zulkifli bin Hainin 
  3. Tn. Hj. Abd Shukor bin Hj. Ujang 
  4. Tn. Hj. Hamidi bin Daud 
  5. Tn. Hj. Nor Azmi bin Rahmat 
  6. En. Hamidi bin Shariff 
  7. Pn. Anis binti Iberahim
  8. Pn. Latifah binti Abd. Latif 
  9. En. Sahrom bin Shamsudin
  10. Tn. Hj. Azmi bin Hj Ismail






Delegasi Selangor ke Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Kali Ke-21


Barisan Delegasi MGB Selangor yang diketuai oleh En. Alwan Ginen (YDP) dengan turut disertai oleh Pegawai Perhubungan En. Mohamad Zakariah Hamzah


Barisan Pegawai MGB Selangor En. Alwan Ginen (YDP), En. Sukimin Juki (Naib YDP), En. Hasim Salleh (Setiausaha Agung) dan Tn Hj Nor Azmi Rahmat (Bendahari).  Turut bersama ialah En. Mohamad Zakariah Hamzah (Pegawai Perhubungan). Tiada dalam gambar ialah Hj. Zulkifli Hainin (Timbalan) dan Tn. Hj. Abdul Shukor Ujang (Naib Yang Dipertua 2)
Bersama Menteri besar Kedah YAB Dato' Seri Mukhriz bin Mahathir

Delegasi Selangor pada hari kedua konvensyen


YDP MGB Selangor En. Alwan bersama KPPM YBhg Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof 

Thursday, August 13, 2015

Ucapan Penangguhan Persidangan



Ketua Perwakilan Selangor En. Sukimin Juki sedang membuat ucapan penangguhan


Ucapan Penangguhan dari Ketua Perwakilan MGB Selangor En. Sukimin bin Juki



MGB Selangor mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada

Pegawai dan Exco Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, JK Kuasa Pengelola MGB Kedah dan semua pihak yang menjayakan Konvensyen dan Persidangan kali ini.

Dalam ucapan penangguhan ini, barisan Perwakilan Selangor (negeri yang kutipan GSTnya sehingga Julai adalah sebanyak RM9 bilion) meminta agar direkodkan beberapa perkara untuk diambil pandangan dan tindakan dalam mesyuarat Pegawai Tadbir dan Exco atau dalam persidangan akan datang.
  1. Penetapan tarikh cuti perayaan dan cuti peristiwa perlu diberikan kebebasan kepada sekolah untuk menyusunnya kerana merekalah yang lebih tahu akan kesesuaian dan keperluan sekolah mahupun komuniti setempatnya. Pengupayaan (empowerment) sudah lama diperkatakan oleh KPM iaitu sejak Tan Sri Dr Wan Zahid menjadi KPPM. Namun dari segi pelaksanaannya hingga ke hari ini (setelah hampir 20 tahun) ia masih tersangkut-sangkut atau berubah-ubah. Berilah peluang kepada Guru Besar untuk menentukannya (namun masih tertakluk kepada kelulusan PPD) asalkan ia tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan. Sebagaimana yang berlaku baru-baru ini apabila tarikh cuti sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang bertukar-tukar hingga ke saat akhir telah menyebabkan sebahagian daripada warga guru menanggung kerugian apabila terpaksa menukar jadual penerbangan balik kampung. Berdasarkan hasil survei online yang dijalankan oleh MGB Selangor, purata setiap guru/ibubapa/pegawai KPM yang terlibat dengan penukaran jadual penerbangan ini telah dikenakan caj sebanyak RM689. Bayangkan jika terdapat seramai 1000 orang yang terlibat, maka sejumlah RM689,000 hangus begitu sahaja. Amaun tersebut bukanlah kecil dan amat diperlukan terutama sewaktu musim perayaan. Berilah kebebasan kepada sekolah untuk memilih tarikh dan jenis cuti yang sesuai kepada sekolah. Janganlah diseragamkan secara rigid di peringkat negeri mahupun daerah memandangkan keperluan, latar belakang dan demografi setiap sekolah adalah tidak sama. Juga dipohon agar KPM menekankan dengan jelas bahawa surat siaran yang dikeluarkan oleh KPM hanya sekadar panduan bukan wajib dituruti (bulat-bulat) dan pihak sekolah masih boleh memohon mengikut kesesuaian masing-masing.
  2. Mohon dilihat dari segi kurikulum prasekolah dan Tahap 1 agar ia dapat mengisi "kekosongan" dalam diri rakyat Malaysia seperti yang dikisahkan oleh YB Menteri Pendidikan dan YAB Menteri Besar Kedah. Kedua-dua tokoh ini walaupun berucap dalam masa yang berbeza, namun ia merujuk perkara yang sama iaitu betapa pentingnya Malaysia perlu menghasilkan negara bangsa yang baik. Maka, dapat disimpulkan daripada kedua-dua ucapan tersebut bahawa sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih 'gagal' dalam menghasilkan negara bangsa seperti yang digambarkan dalam contoh-contoh yang diberikan oleh kedua-dua tokoh tersebut. Negara Jepun, Korea dan Itali antara negara-negara yang disentuh oleh mereka mengenai perihal rakyatnya yang tinggi tahap disiplinnya. Sekolah di Jepun untuk mereka yang berusia di bawah sepuluh tahun memfokuskan untuk memanusiakan manusia. Menteri Pendidikan mentafsirkan peradaban bangsa sebagai bangsa yang penuh dengan nilai-nilai positif, perlakuan yang tidak boleh dibuang, tiada kekosongan jiwa
  3. Pembukaan sekolah baharu kerap membawa masalah kepada caretaker dan semua yang berkaitan. Masalah untuk menyediakan kelengkapan asas pengisian sesebuah sekolah amat mencabar. Sehubungan itu adalah dipohon agar pihak KPM menyediakan SOP agar dapat meningkatkan imej keprofesionalan KPM selain dari dapat meminimumkan beban tugas care taker

Selain daripada itu, MGB Selangor juga ingin:

  1. memohon agar SU GMGBM mengeluarkan segera surat mengenai pindaan perlembagaan bagi memudahkan urusan negeri dan daerah
  2. mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada negeri Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah konvensyen kali ke-22 pada tahun hadapan
  3. merakamkan ucapan terima kasih kepada Tn Hj Mohd Sohimi Othman yang telah bertindak selaku pegawai perhubungan GMGBM sejak hampir 2 tahun. Selamat datang kepada penggantinya En Haris Yahya dan Pn Sahariah. Semoga ikatan antara GMGBM dan KPM semakin erat dan saling memahami.





Sebahagian daripada barisan perwakilan Selangor

Sent from my iPhone

Tuesday, August 11, 2015

Ucapan Perasmian Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Ke-21

Muat turun pdf di sini

KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21
DAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-33
GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA (GMGBM)
TAHUN 2015


TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT DATO’ SERI DIRAJA MAHDZIR BIN KHALID
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA
BERTEMPAT DI DE BARON RESORT, PULAU LANGKAWI, KEDAH

PADA
11 OGOS 2015 (SELASA)

“GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK”


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Dato’ Haji Tajul Urus bin Haji Mat Zain
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia

Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Jamil bin Md. Noh
Timbalan Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman,

Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia,
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian,
Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri,
Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah, 
Yang DiPertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM),
Wakil Majlis Pengetua Sekolah Menengah, Barisan Exco dan Pegawai GMGBM,

Dato'-Dato', Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan warga pendidik yang saya hormati sekalian.


PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir di Dewan De Baron Resort, Langkawi ini sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola yang diterajui oleh Majlis Guru Besar Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman atas penganjuran konvensyen selama empat hari yang bertemakan “Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”.

2.      Sesungguhnya, program tahunan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ini mencerminkan kesepakatan dan komitmen GMGBM terhadap peranan dan sumbangan para guru besar yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah. Kehadiran tuan/puan ini jelas membuktikan sokongan, dokongan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara. Saya menyokong usaha murni GMGBM menjadikan konvensyen dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah mengubah peranan guru besar sebagai pengurus sekolah secara tradisional kepada pemimpin organisasi yang sentiasa peka dengan perkembangan dunia pendidikan. Guru besar juga perlu peka dengan dasar transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkongsian ilmu dan kerjasama sebeginilah yang menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti pendidikan terus mencapai tahap cemerlang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

3.      Pada kesempatan ini juga, saya ingin melahirkan rasa penuh kesyukuran atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh tampuk kepimpinan negara untuk saya menerajui kementerian ini dengan kerjasama padu seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Semestinya dasar pendidikan sedia ada kekal relevan dan akan diteruskan dengan pengubahsuaian mengikut keperluan semasa. Seperti yang telah saya nyatakan perkara yang perlu diutamakan sekarang ini adalah menyelesaikan rungutan para guru yang membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki mereka. Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sedang berusaha mengatasi masalah beban kerja yang ditanggung oleh 420,000 guru di seluruh negara. Sehingga kini, KPM telah menempatkan pembantu guru di sekolah melalui projek rintis di negeri Kedah dan Melaka bagi memastikan hal ini tidak menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik.

“GURU BESAR: MEMBINA ILMU, MENYEMPURNAKAN AKHLAK”

YB Dato', Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

4.      Tema konvensyen pendidikan ini yang selari dengan tema hari guru tahun 2015 dilihat amat sinonim dengan jiwa warga pendidik iaitu "GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK". Hal ini bersesuaian dengan tanggungjawab para guru besar yang memainkan peranan penting sebagai ketua atau peneraju institusi pendidikan bagi menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul. Bahkan sebagai arkitek sosial, tuan-tuan dan puan-puan sememangnya memikul tugas besar, bukan sekadar memimpin para guru dalam memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu, malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara. Pembinaan tamadun ilmu bakal terhasil apabila ilmu diberikan status sebagai ‘the highest good' dalam pembentukan peradaban insan sejagat. Budaya ilmu yang sebenar akan memberi peluang yang saksama kepada semua warga pendidikan untuk mengejar dan mengamalkan ilmu dalam kehidupan.

5.      Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke-21, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak akibat permasalahan sosial yang wujud seiring dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Kepincangan membentuk masyarakat berakhlak mulia samalah seperti membuat kerosakan pada muka bumi ini. Dalam konteks ini, semua guru besar seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu membentuk akhlak mulia melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”. (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim). Kepentingan akhlak mulia ini diperjelaskan lagi oleh Baginda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

6.      Pada hemat saya, tema konvensyen pada kali ini juga selaras dengan hasrat murni warga kementerian pendidikan menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 merangkumi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional yang perlu ada pada setiap murid. Modal insan yang dibangunkan dalam negara kita ini tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi hendaklah diperkukuh dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai murni. Oleh itu, semua guru besar di Malaysia perlu mempunyai aspirasi yang sama untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia dengan memikul tanggungjawab melahirkan modal insan cemerlang dan bersahsiah tinggi tanpa berorientasikan peperiksaan semata-mata.

7.      Sejajar dengan itu, saya menyeru semua guru besar agar terus berpegang kepada satu agenda bagi memastikan kejayaan PPPM 2013 - 2025 dan juga berpegang teguh kepada etika profesion keguruan dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jelas di sini bahawa aspek akhlak, budi pekerti, integriti, akauntabiliti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang amat penting dalam membina negara bangsa dan mencapai kemajuan ekonomi lestari. Sudah tentu amat penting bagi Malaysia melakar kejayaan sistem pendidikan yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan semua rakyat dan menyediakan negara untuk bersaing di persada antarabangsa.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

8.      Kementerian Pendidikan bermatlamat menghasilkan kumpulan murid terbaik bagi mendepani cabaran abad ke-21. Dalam usaha menggerakkan agenda pembangunan negara seiring dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, tuan/puan diberi amanah berada di barisan hadapan untuk memberi penerangan tentang dasar dan hasrat negara kepada ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, saya sekali lagi menyeru semua guru besar supaya terus berusaha memainkan peranan sebagai pembina ilmu, penyubur perpaduan, pembangun sahsiah malah sebagai jurutera sosial yang mampu menggerakkan proses transformasi bagi mencorakkan landskap sistem pendidikan negara. Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan menunjukkan teladan yang baik. Guru besar sebagai pemimpin khususnya perlu memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga. Tuan/puan juga perlu bersikap suka membantu dan membimbing serta berperanan sebagai suri teladan kepada para guru, anggota pelaksana dan murid di bawah pimpinan tuan/puan.

9.      Saya pasti peranan tuan/puan semakin mencabar dalam keadaan alaf baharu yang diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat. Sebagai guru besar, peranan tuan/puan bukan sahaja memberi impak besar terhadap pembinaan minda generasi muda, malah amat penting bagi mencorakkan gaya hidup yang unik dalam kalangan mereka. Peranan tuan/puan sebagai fasilitator dalam konteks budaya pendidikan bestari seharusnya mampu membangunkan sahsiah murid melalui tapisan kandungan maklumat dalam wahana teknologi terkini.

10.   Umumnya, guru ialah insan terpilih yang memainkan peranan penting dalam memperkasa dan membina ilmu serta penerapan nilai murni demi menyempurnakan akhlak murid. Proses pencarian dan pembinaan ilmu harus dijadikan amalan penerokaan yang tidak bernoktah. Menjelang tahun 2020, unjuran penduduk Malaysia adalah seramai 34.2 juta orang dan golongan yang berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 64 tahun adalah seramai 26.2 juta orang. Yang pastinya, guru, murid dan kita semua berada dalam lingkungan julat tersebut, justeru, kemahiran dan ilmu perlu dipertingkatkan melalui penyemaian budaya ilmu yang boleh diterokai melangkaui batasan usia, masa, mahupun tempat.

11.    Saya percaya konvensyen dan persidangan ini dapat menjadi platform yang berkesan dalam membudaya dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat bagi semua warga Kementerian Pendidikan, khususnya guru besar yang merupakan golongan yang sudah berkerjaya mantap. Seorang guru besar yang profesional adalah guru besar yang berilmu, bertanggungjawab, mempunyai kemahiran dan ketrampilan yang baik serta memiliki sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan kepada warga sekolah. Sememangnya transformasi ke arah "Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak" adalah selari dengan dasar Malaysia yang ingin menjadi negara maju dan melahirkan generasi yang berilmu, berkebolehan dan berakhlak mulia. Seterusnya dapat menyerlahkan keseimbangan dari sudut keupayaan intelektual dan nilai kerohanian setiap murid.

TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
12.   Bagi menjayakan transformasi, idea baharu dan pendekatan kreatif amat diperlukan. Inilah yang sedang dilaksanakan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bermula dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, yang menjelmakan program transformasi, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Politik. Saya difahamkan melalui konvensyen ini, para guru besar akan diberi pendedahan dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas tentang konsep Transformasi Pendidikan Negara, mempertingkatkan keupayaan memimpin dan mengurus secara profesional, membantu guru besar dalam usaha melonjakkan sekolah ke arah ’Sekolah Berprestasi Tinggi’ dan memartabatkan profesionalisme guru besar.

13.    Selari dengan Dasar Transformasi Pendidikan Negara, guru besar perlu meningkatkan kefahaman tentang hala tuju negara dalam bidang pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan sekolah rendah sebagai pemangkin kepada objektif dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia. Bersesuaian dengan tema konvensyen, sebagai guru besar yang merupakan tonggak pendidikan rendah, tuan/puan perlu memainkan peranan yang proaktif dalam menjayakan transformasi ini. Pengurusan sekolah masa kini sememangnya mencabar dengan pelbagai isu dan perkembangan baharu dalam sistem pendidikan. Justeru, tuan/puan perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai langkah dan pendekatan untuk mengatasi cabaran dan halangan yang dilalui sepanjang melaksanakan tugas mentadbir sekolah.

14.    Bagi mencapai matlamat transformasi pendidikan, Kerajaan telah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menerusi empat sub NKRA iaitu Prasekolah, LINUS, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Tawaran kepada Pengetua/Guru Besar. Tawaran Baharu ini atau Bai’ah diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada pengetua/guru besar dalam usaha melonjakkan kecemerlangan sekolah iaitu menawarkan ganjaran yang menarik kepada pengetua/guru besar yang melepasi sasaran serta membantu mereka yang lemah dalam mencapai sasaran tersebut. Penilaian terhadap pencapaian pemimpin sekolah dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada tuan/puan yang telah berjaya mendapat pengiktirafan seperti yang saya nyatakan.
15.    Transformasi sistem pendidikan negara menerusi PPPM 2013 - 2025 turut menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjana pemikiran murid daripada peringkat akar umbi dan diharap KBAT dapat melahirkan murid yang berdaya saing menjelang abad ke-21. Dijangka peratusan soalan pemikiran aras tinggi akan ditambah sebanyak 50 peratus dalam peperiksaan UPSR dan peperiksaan awam lain menjelang 2016 nanti. Selain itu, dengan KBAT saya harap murid dapat menilai iaitu membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui kaedah memeriksa dan mengkritik selain mencipta sesuatu atau struktur yang baharu. PPPM 2013 - 2025 yang memberi penekanan khusus terhadap aspirasi akal dan budi juga dinilai melalui transformasi besar-besaran dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai teras pembangunan murid secara holistik.  Dalam konteks ini, guru besar berperanan memberi pemahaman yang telus kepada guru yang ditadbir dan juga waris murid sebagai persediaan di peringkat sekolah rendah. Saya begitu yakin dengan kredibiliti para guru besar di hadapan saya ini untuk menjadi penyalur maklumat yang baik dan pencetus transformasi pendidikan negara seperti yang disarankan.

YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

16.    Sebagaimana kita sedia maklum, pengumuman yang dibuat semasa Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Jitra semestinya memberi khabar gembira kepada tuan/puan sebagai pemimpin sekolah. Langkah Kerajaan menambahbaik Elaun Guru Besar sedia ada yang dinaikkan berkuatkuasa 1 Julai 2015dibuat kerana guru besar memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi PPPM 2013 - 2025. Peranan dan kompleksiti tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan guru besar. Saya berharap agar insentif ini dapat mendorong tuan/puan selaku pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dan keberhasilan murid.

17.  Sesungguhnya usaha merealisasikan pembudayaan ilmu dan penyempurnaan akhlak bukanlah kerja sehari, seminggu, sebulan, setahun mahupun sedekad. Ini adalah usaha berterusan dan boleh dilaksanakan melalui penjanaan idea dan program baharu yang membentuk strategi yang cekap, berkesan dan mempunyai nilai tambah. Sehubungan dengan itu, dalam kepesatan ekonomi zaman millenium ini, elemen kreativiti dan inovasi harus ditekankan sejak di bangku sekolah agar Malaysia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan terus berdaya saing untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di dunia.

18.    Saya yakin konvensyen ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membina ilmu dan menyempurnakan akhlak dalam kalangan pendidik di samping turut memberi pendedahan kepada guru besar untuk mencetuskan idea baharu tentang pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mampu menghasilkan murid yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Para pembentang pula diharap dapat berkongsi pengalaman dan amalan terbaik tentang pelbagai strategi ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi membolehkan para peserta mendapatkan pelbagai input dan pandangan tentang perkara yang dibincangkan. Konvensyen ini amat bertepatan dengan peranan guru besar bagi mencetuskan idea bernas dalam membimbing PdP guru-guru di sekolah. Melentur buluh kata orang, biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya hijrah minda atau anjakan paradigma, berfikir di luar kotak kebiasaan, berfikir secara lateral atau strategi lautan biru perlu digalakkan dalam kalangan murid bagi menjana minda kreatif serta memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.

19.   Sebelum mengakhiri bicara, besarlah harapan saya agar konvensyen dan persidangan yang diadakan ini dapat membakar semangat tuan/puan untuk mengintegrasi hasil positif dan mengadaptasi penemuan terbaharu bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara dan melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Di samping itu, manfaat yang diperoleh melalui penganjuran konvensyen pendidikan ini dapat membina jaringan sokongan dan hubungan intelektual dua hala dengan warga pendidik di peringkat akar umbi hinggalah kepada pihak pengurusan tertinggi.

20.   Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan konvensyen pendidikan dan persidangan GMGBM pada kali ini. Saya juga menyeru kerjasama semua pihak khususnya warga KPM supaya terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan penyempurnaan akhlak melalui perkongsian ilmu, perancangan yang komprehensif dan berterusan demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem yang terunggul di dunia.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Yang Berhormat Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
9 Ogos 2015

Monday, August 10, 2015

Senarai Delegasi Selangor

Senarai Rombongan Ke Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Kali Ke-21
  1. En. Mohamad Alwan bin Ginen (Yang DiPertua)
  2. Tn. Hj. Zulkifli bin Hainin (Timbalan YDP)
  3. En. Sukimin bin Juki (Naib YDP)
  4. Tn. Hj. Abd Shukor bin Hj. Ujang (Nain YDP 2)
  5. En. Hasim bin Saleh (Setiausaha Kehormat)
  6. Tn. Hj. Hamidi bin Daud (Pen. SU)
  7. Tn. Hj. Nor Azmi bin Rahmat (Bendahari)
  8. En. Hamidi bin Shariff (SU Klang merangkap Ketua Rombongan)
  9. En  Rosman bin Mansoor (SU Gombak)
  10. Pn. Anis binti Iberahim (Pengerusi Petaling Perdana)
  11. Pn. Hjh. Zaini binti Baba (SU Petaling Perdana)
  12. Pn. Latifah binti Abd. Latif (pengerusi Petaling Utama)
  13. En. Sahrom bin Shamsudin (Pengerusi Hulu Langat)
  14. En. Mohd. Jamil Yahaya (SU Hulu Langat)
  15. Tn. Hj. Azmi bin Hj Ismail (Pengerusi Kuala Langat)
  16. Tn. Hj. Rahmat bin Musman (SU Kuala Langat)
  17. En. Ishak bin Noh (Pengerusi Sepang)
  18. En. Ishak bin Md Noor (SU Sabak Bernam)

Pembatalan Saat Akhir (Bersebab):
  1. Tn. Hj. Muhammed Adzhar Hj Alias,
  2. En Mohamad Latiff bin Saari (ke IAB GH - Program Transformasi)


Turut Hadir:
  1. En. Mohamad Zakariah bin Hamzah (Pegawai Perhubungan)
  2. En. Mohd Mohradi bin Mohd. Mohlas (Pengerusi Tetap)
  3. Tn Hj Kamaruzzaman bin Yahya (Timbalan Pengerusi Tetap)

Persidangan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Kali Ke-33

Perwakilan:
  1. En. Sukimin bin Juki (Ketua)
  2. Tn. Hj. Zulkifli bin Hainin 
  3. Tn. Hj. Abd Shukor bin Hj. Ujang 
  4. Tn. Hj. Hamidi bin Daud 
  5. Tn. Hj. Nor Azmi bin Rahmat 
  6. En. Hamidi bin Shariff 
  7. Pn. Anis binti Iberahim
  8. Pn. Latifah binti Abd. Latif 
  9. En. Sahrom bin Shamsudin
  10. Tn. Hj. Azmi bin Hj Ismail

Pemerhati:

  1. En  Rosman bin Mansoor 
  2. Pn. Hjh. Zaini binti Baba 
  3. En. Mohd. Jamil Yahaya 
  4. Tn. Hj. Rahmat bin Musman
  5. En. Ishak bin Noh
  6. En. Ishak bin Md Noor 
  7. En. Mohd Mohradi bin Mohd. Mohlas 
  8. Tn Hj Kamaruzzaman bin Yahya 

KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21 DAN PERSIDANGAN GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA KE-33

KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21
DAN 
PERSIDANGAN GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA KE-33

TARIKH: 10 - 13 OGOS 2015

TEMPAT: DE BARON RESORT LANGKAWI, KEDAH DARUL AMAN


Tema Konvensyen:
"Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak"


                                                     PENGENALAN
Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia berhasrat merealisasikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-21 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Ke-33 sebagai satu wadah ke arah mengubah peranan Guru Besar sebagai pengurus sekolah secara tradisional kepada pemimpin organisasi yang sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan dunia. Guru Besar juga perlu peka dengan Dasar Transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

                                   RASIONAL
Selari dengan Dasar Transformasi Pendidikan Negara, Guru Besar perlu meningkatkan kefahaman tentang hala tuju negara dalam bidang pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan sekolah rendah sebagai pemangkin kepada objektif dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bersesuaian dengan tema “Guru Besar: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak” kita semua selaku Guru Besar yang merupakan tonggak pendidikan rendah di negara ini perlu memainkan peranan yang aktif dalam menjayakan Dasar Transformasi Pendidikan Negara. Pengurusan sekolah masa kini sememangnya mencabar dengan berbagai isu dan perkembangan baharu dalam pendidikan. Kita perlu bersedia dengan berbagai langkah dan pendekatan untuk mengatasi cabaran dan halangan yang dilalui sepanjang melaksanakan tugas di sekolah.
Melalui Dasar Transformasi Pendidikan, kita berharap agar modal insan yang bakal dilahirkan mempunyai nilai jati diri yang tinggi untuk bersaing di persada dunia. Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan direalisasikan sebagai wadah perjuangan pendidik seluruh negara demi mengangkat martabat pendidikan kita bertaraf dunia. Bersama-sama merealisasikan Dasar Transformasi Pendidikan dengan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan demi menjayakan matlamat 1Malaysia “Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan”.

                                          OBJEKTIF

 4.1 Memberi pendedahan kepada semua Guru Besar di Malaysia dengan ilmu 
       dan pengetahuan yang jelas tentang konsep Dasar Transformasi Pendidikan
       Negara.

 4.2 Mempertingkatkan keupayaan memimpin dan mengurus secara profesional
      dalam kalangan Guru Besar.

 4.3 Membantu Guru Besar dalam usaha melonjakkan sekolah ke arah Sekolah
       Berprestasi Tinggi .

4.4 Memartabatkan profesionalisme semua Guru Besar.

Wednesday, August 5, 2015

Selamat Bersara Tn Hj Zulkifli Hainin (Timbalan YDP)

Tn. Haji Zulkifli bin Hainin








Majlis Guru Besar Selangor juga turut meraikan persaraan Timbalan Yang Dipertua MGB Selangor Tuan Haji Zulkifli bin Hainin sewaktu berlangsungnya Program Hayati Asas Kenegaraan pada 5 Ogos 2015 di Hotel Goldcourse.  Dalam majlis ringkas dan mengejut ini, Pengarah Pendidikan Selangor Tuan Zainuren Hj. Mohd. Nor telah menyampaikan cenderamata sumbangan NGB Selangaor yang antara lainnya ialah seutas jam tangan.